![]() |
| Sistem baharu yang dicadangkan membolehkan pemandu teksi tidak lagi perlu mengambil lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV). |
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memansuhkan pelaksanaan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu teksi dan digantikan dengan sistem baharu bagi diseragamkan dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Sistem baharu itu bagi memastikan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar dapat bersaing secara sihat dan memberi perkhidmatan paling efisien kepada penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah memberitahu, cadangan itu akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh terdekat ini.
Menurutnya, pemansuhan PSV merupakan salah satu daripada 11 inisiatif yang terdapat dalam program E-hailing bagi mempertingkatkan sistem dan perkhidmatan semua jenis teksi termasuk Uber dan GrabCar.
“Walau bagaimanapun, perkara ini masih belum diputuskan Kabinet. Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menambah baik dan mentransformasikan perkhidmatan teksi demi kepuasan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, SPAD dijangka membentangkan kertas kerja untuk membenarkan perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar beroperasi seperti pengusaha teksi biasa, yang akan dimuktamadkan akhir tahun ini.
Berdasarkan amalan sebelum ini, mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan mempunyai lesen memandu perlu memohon lesen PSV daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memandu teksi atau bas.
Difahamkan, menerusi pelaksanaan sistem baharu itu nanti, sesiapa sahaja yang mahu memandu teksi, Uber atau GrabCar hanya perlu memiliki lesen memandu dan berdaftar dengan SPAD tanpa perlu menduduki ujian bagi mendapatkan PSV.
Menurut Mohd. Azharuddin, walaupun perkara itu masih di peringkat cadangan, namun perkhidmatan teksi perlu dipertingkatkan supaya mencapai tahap kualiti yang dikehendaki.
“Kita perlu tambah baik sistem perkhidmatan teksi, Uber dan GrabCar, jadi kita cadangkan sistem baharu bagi gantikan lesen PSV,” katanya.
Keyword : Teksi, Teksi Malaysia, Khidmat Teksi, Uber, GrabCar, PSV Teksi, Uber Malaysia, Pemandu Teksi
